Stadium Darul Aman masih terpasak megah di situ, kekal menjadi kebanggaan jiwa-jiwa dan pendukung setia Hijau Kuning.
Kedah akan memulakan kempen saingan Liga Super 2011 di sini melayan kunjungan pasukan baru dari Pantai Timur, T-Team.
Sejak di Kuala Lumpur lagi, aku betul-betul teruja untuk pulang menyaksikan perlawanan itu, kerana kali ini ada sesuatu yang baru menanti aku di sana, sesuatu yang tak pernah aku buat sepanjang di SDA.
Semuanya bermula semasa separuh akhir pertama pasukan kebangsaan menentang Vietnam di Bukit Jalil yang mana secara tidak sengaja "terjoin" Ultras Malaya yang memberikan sokongan dengan cara yang sangat wow.
Menariknya, di negeri kelahiran aku juga mempunyai budaya sokongan sama, cuma aku saja yang tidak sedar. Sedikit terkilan untuk itu tapi belum terlambat untuk merasainya. Mudah-mudahan peluang itu akan selalu ada lagi and lagi!!!
Aku sampai awal di perkarangan stadium. Turut kelihatan beberapa comgrade UM yang berasal dari Kedah seperti Pendz, Naim, Boii, Zaem, Remy dan beberapa orang lagi yang kemudiannya bergabung dengan mereka yang sememangnya based di sana.
Apa yang aku tahu, itu bukan kali pertama budaya itu dipersembahkan di Darul Aman tapi itulah "malam pertama" aku menyertai mereka.
Sebelum ini, memang aku sudah biasa dengan suasana di situ terutamanya ketika bertugas membuat liputan perlawanan Kedah di sana.
Cuma bermula malam ini dan untuk perlawanan akan datang, aku tidak akan duduk lagi di ruangan media sebaliknya akan berdiri di tempat duduk terbuka yang mereka panggil Gate T1.
Selepas Malaysia menjulang Piala AFF yang menyebabkan minat rakyat terhadap bola sepak kembali meningkat, aku juga berharap suhu yang sama direkodkan di Alor Setar-atau lebih tepat lagi stadium itu kembali menjadi tin sardin seperti musim gemilang 2006,2007 dan 2008.
Ketika itu, sangat sukar untuk mencari ruang-ruang lompong di stadium yang boleh memuatkan hampir 35,000 penonton itu. Sangat hijau kuning dengan bendera dan segala bagai kain rentang digantung di sana sini. Pukulan gendang Kepak disahut dengan sorakan KEDAH KEDAH KEDAH oleh penonton lain biasa membangkitkan semangat luar biasa ketika itu.
Secara peribadinya, aku berharap agar semua itu berulang pada malam ini. Aku juga menyediakan sebuah banner bertulis THE POWER OF GREEN YELLOW untuk digantung di GT1 dengan bantuan Wan Warga dan saudara-saudara lain yang ada di sana dan aku berpuas hati dengan hasilnya.
Malangnya, sausana yang aku idamkan iaitu "tin sardin" tidak berlaku apabila kehadiran penonton pada malam itu biasa-biasa sahaja,sekitar 10,000 orang. Mungkin juga faktor lawan iaitu T-Team tidak dianggap memukau walaupun pasukan itu mempunyai tiga orang pemain handalan seperti Indra Putra, Mohd Nor Farhan dan Azizi Mat Rose.
Ultras Kedah memulakan aksi dengan nyalaan suar ketika lagu Negaraku dimainkan. Oh Flare, i like it...Bila perlawanan bermula, maka UK pon mula "berjuang" .
Ini aksi ketika chant lagu Manggis. Pix Jeebsion.
Malam itu Kedah gagal memungut mata penuh apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan T-Team.